Dahi Arianna berkerut-kerut seperti sedang memikirkan sesuatu. Wajahnya yang tenang berubah menjadi kusut. Hati Arianna bergolak, dia resah memikirkan tentang jodohnya. Seorang lelaki yang berjaya menambat hatinya dan menjadi peneman setia saat suka dan duka. Kertas kerja yang terbentang di atas meja dibiarkan berselerak dan tidak tersusun. Dia mundar mandir di dalam bilik kecil itu. Segala kerja yang sepatutnya disiapkan tergendala. Terngiang-ngiang lagi di cuping telinga Arianna perbualan dengan mamanya semasa dia pulang ke kampung dua minggu yang lalu untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupunya.
“Apa lagi yang Anna tunggu? Umur dah makin bertambah, bukan makin berkurang tapi tak ada lagi calon-calon yang Anna kenalkan kepada mama. Sampai bila Anna nak tunggu? Kita kena berusaha. Semua benda kat dunia ni bukan datang bergolek di depan mata. Mama dan papa risau Anna sorang-sorang kat KL tu. Kalau apa-apa jadi macam mana?” Panjang leteran mama Arianna malam tu. Bukan Arianna tak nak tapi dia sudah puas mencari namun tak ada seorang pun yang melekat di hatinya. Pengalaman cinta luka antara dia dan Iz dahulu telah membuatkan dia hilang kepercayaan terhadap kaum adam. Dia serik dan penat menagih cinta kepada orang yang tidak tahu menghargai erti kasih sayangnya. Tapi mama dan papa tidak memahami perasaannya! Bentak Arianna di dalam hati “Hmmmm..Anna bukan tak nak. Tapi tak ada calon lagi.” Jawab Arianna acuh tak acuh. Arianna merenung jauh di luar jendela. Mengharapkan simpati dari mamanya. “Minggu lepas kawan papa tanya pasal Anna. Dia nak kenalkan Anna dengan anaknya, si Adib. Dia baru habis belajar dari Stevens Insitute of Technology kat New York tu. Kalau Anna setuju boleh la mama aturkan.”
Mata Arianna membulat. Arianna terkejut dengan berita itu. Pertanyaan mamanya sengaja tidak dijawab. Arianna diam membisu seribu bahasa. Mama, Anna tak bersedia lagi nak kenal mana-mana lelaki ma. Bisik hati kecilnya.
“Anna,apa yang difikirkan tu?” Tegur Sofea,sahabat baik Arianna dipejabat. Arianna tersentak daripada lamunannya. “Tak ada apa-apa la.” Jawab Arianna bersahaja, cuba untuk berselindung. “Jom la Anna kita pergi lunch.” Sofea dan Arianna selalu pergi makan tengah hari bersama-sama. Mereka seperti belangkas. Di kafe, Arianna dan Sofea duduk satu meja dengan kawan sepejabat yang lain. Kak Aza merupakan orang yang paling berpengalaman dan senior yang paling lama berkhidmat di syarikat mereka bekerja. “Anak saudara kak Aza yang baru habis belajar dekat Ireland tu dah nak kahwin. Jemput la datang semua, nanti kak Aza bagi kadnya ye.” Kak Aza meninggikan sedikit suaranya disebabkan keadaan kafe yang bising. “Bila tu kak Aza?” Sofea bertanya dengan penuh minat. “Minggu depan. Bakal suami dia engineer so kena la kahwin cepat-cepat sebab bakal suami dia kena kerja dekat luar negara. Kalau tak kahwin cepat-cepat nanti kena kebas dengan orang lain.” Ujar kak Aza sambil berseloroh. “Betul tu kak Aza. Anak saudara kak Aza tu dah la cantik persis model tak kan la boyfriend dia nak lepas macam tu je. Mahu nanti anak saudara kak Aza tu kena pinang dengan anak raja, gigit jari la jawabnya.” Mereka ketawa apabila mendengar gurauan Sofea.
Arianna yang dari tadi lagi mendiamkan diri turut ketawa mendengar celoteh mereka. “Hah Anna,dari tadi lagi berdiam. Ada apa-apa ke nak kongsi dengan kami?” Belum sempat lagi Arianna menjawab soalan Sofea, kak Aza mangajukan pertanyaan yang mengguris hatinya, “Anna bila lagi? Tak kan la orang cantik macam kamu ni tak ada calon. Kak Aza dah tak sabar nak makan nasi minyak Anna ni. Si Sofea pun dah nak kahwin bulan depan. Anna jangan tunggu lama sangat nanti jadi andartu.” Ujar kak Aza tanpa rasa bersalah. Arianna hanya tersenyum kelat tanpa menjawab soalan itu.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, fikiran Anna melayang entah ke mana. Dia kusut memikirkan pertanyaan kak Aza dan apa yang orang fikir tentang dirinya. Dia tak mahu digelar anak dara tua atau lebih dikenali sebagai andartu. Selesai solat isyak, Arianna duduk diatas sofa. Dia menekan-nekan remote control seakan-akan mencari cerita yang menarik untuk ditonton namun tiada satu cerita pun yang menarik hatinya. Tiba-tiba dia teringat kisah cinta dia dan Iz. Iz merupakan lelaki pertama yang telah menambat hatinya. Iz seorang jejaka yang mempunyai darah campuran Arab. Semua perempuan akan jatuh hati dengan rupa Iz yang kacak dan Arianna merupakan salah seorang wanita yang paling bertuah kerana dalam diam Iz menaruh hati terhadap Arianna. Iz terpesona dengan perwatakan Arianna yang lemah-lembut dan manja serta rupa Arianna yang cantik bak bidadari. Arianna dan Iz merupakan pasangan yang paling dikenali di kolej kerana mereka sangat secocok, sama cantik dan sama padan. Namun, tragedi luka bermula apabila Iz terpaksa menyambung pelajaran ke luar negara. Sejak dari detik itu, Iz tidak pernah mengirimkan apa-apa berita daripadanya. Puas sudah Arianna mengirim e-mail namun satu pun tidak dibalas. Arianna terseksa selama bertahun-tahun lamanya dan cuba untuk melupakan Iz walaupun sukar baginya. Kali ini baru dia tahu bagaimana sakit rasanya kecewa dalam bercinta. Tangkai jangtungnya bagai direntap kasar dan hatinya bagai dicucuk sembilu tajam. Bukan tidak ada yang hendak mengenali Arianna tetapi pintu hati Arianna sudah tertutup rapat. Namun, Arianna sedar, dia harus bangkit dari terus hanyut dibuai mimpi. Mimpi ngeri yang tidak pernah dia impikan. Arianna sedar setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Arianna berpegang pada serangkap ayat Al-Quran di akhir surah yassin iaitu Kun Fayakun yang bermaksud “Jadilah! maka terjadilah ia” (Surah Yassin : 82). Seandainya Allah telah menetapkan begitu maka begitulah jadinya. Tiada siapa yang tahu rahsia Allah. Dia hanya redha dan menerima ujian itu dengan hati yang lapang serta mengambilnya sebagai satu proses hidup untuk mengajarnya menjadi lebih matang.
Selepas mesyuarat, Encik Helmi yang merupakan bos Arianna memanggilnya untuk masuk ke dalam pejabat. “Arianna, awak kena uruskan kerja di Bali . Awak akan berjumpa dengan pengurus syarikat disana nanti, beliau ialah Encik Firdaus, salah seorang pengurus paling berjaya di Indonesia. Segala kemudahan awak telah disediakan. Awak akan berada disana selama seminggu. Saya harap awak boleh buat kerja dengan baik.” Ujar encik Helmi bersungguh-sungguh. “Baiklah encik Helmi, insyaallah saya akan buat yang terbaik untuk projek ini.” Arianna berasa sangat teruja dengan tugasan yang diberikan sekurang-kurangnya dia dapat merantau di tempat orang sambil menghilangkan segala masalah yang dihadapinya.
Semasa lunch di pejabat, sekali lagi kak Aza bercerita tentang hal rumah tangga. Kak Aza bercerita mengenai anak-anaknya serta mengatakan bahawa orang yang sama umur dengan Arianna sudah mempunyai dua orang anak tapi Anna masih lagi tiada calon untuk berkahwin. Fikiran Arianna sekali lagi menjadi kusut. Dia takut sekiranya dia kahwin lambat, dia akan susah untuk mendapat anak. Dia gelisah memikirkannya. Namun Arianna membuang fikiran itu jauh-jauh dan percaya dengan segala takdir yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Arianna kembali bersemangat selepas memikirkan tugasannya di Bali. Malam itu, Arianna mengemas pakaian yang perlu dibawa. Hampir dua jam Arianna di dalam perut kapal terbang akhirnya Arianna mendarat di Jakarta dengan selamat. Arianna disambut oleh pekerja disana di lapangan Soekarno Hatta. Arianna check in di salah sebuah hotel ternama di Jakarta. Setibanya Arianna di dalam bilik hotel, Arianna mengeluarkan semua pakaian dari bagasi dan menyusunnya di dalam almari.
Perjalanan yang jauh membuatkan Arianna penat dan lapar. Perut Arianna mula berbunyi seperti meminta-minta untuk diisi.. Arianna turun ke lobi, mencari makanan untuk dimakan.. Suasana di sekeliling sangat mendamaikan dan membuatkan Arianna terlupa seketika tentang masalah peribadi yang melanda dirinya. Makanan yang dipesan sudah sampai. Belum sempat Arianna mahu menjamah ketam yang terhidang di atas meja tiba-tiba satu suara garau menegur Arianna. “Assalamualaikum, kalau tak silap, u Arianna Batriysa kan?” Firdaus bertanya untuk mendapatkan kepastian. “Waalaikummussalam,ye I Arianna. Err, u siapa ye? Kita kenal ke?” tanya Arianna cemas sambil memandang lelaki yang tinggi lampai itu. Setahu Arianna dia tidak pernah berkenalan dengan sesiapa lagi setibanya di Jakarta. Arianna kaget. “Sorry, I lupa nak kenalkan diri. I Firdaus, manager kat hotel ni. Bos u, encik Helmi dah bagi tahu I yang u dah sampai. Petang tadi I tak sempat nak jemput u. Ada meeting secara mendadak.” Ujar Firdaus panjang lebar. Arianna menarik nafas lega. “Oh, sorry la I tak perasan tadi. Sampai kat sini tadi pun I terus check in. By the way, encik Firdaus panggil je I Anna.” Arianna menjawab dengan lembut. “It’s okay Anna. I tau u penat. Enjoy your food, I pergi dulu ye. Esok pagi I jemput u tengok ke lapangan terbang. This is my card, kalau u nak apa-apa, u call je i.” Ujar Firdaus bersahaja sambil menghulurkan kad dari dompet Polo nya. “By the way, u jangan la berencik-encik dengan i. Panggil je Firdaus, I lagi selesa kalau u panggil macam tu.” Firdaus berlalu pergi sambil tersenyum. Arianna membelek-belek kad yang diberikan. Tertera nama Mohd Firdaus Khusairy di atas kertas itu. Kira-kira Arianna, lelaki itu bukan orang Indonesia kerana tutur katanya tidak seperti orang Indonesia. Malam itu, setelah Arianna membuat persiapan tugasannya, Anna tidur dengan nyenyak sekali.
Ketukan bertalu-talu didengar dari bilik Arianna. Arianna menjenguk keluar untuk melihat orang yang mengetuk pintu biliknya itu. Rupa-rupanya Firdaus yang datang untuk menjemput Arianna. Arianna mengenakan blouse putih dan jeans serta memakai kaca mata hitam. Mereka menuju ke parkir kereta dan menaiki kereta Audi R8 milik Firdaus serta menuju ke lapangan terbang. Arianna dan Firdaus menguruskan kerja bersama-sama. Mereka terbang ke Bali untuk mengendalikan projek membina hotel baru di sana. Sedar tak sedar sudah hampir seminggu Arianna dan Firdaus di Bali dan banyak masa dihabiskan bersama-sama. Kerja yang telah diberikan telah pun siap. Arianna menghantar laporan kepada encik Helmi di KL. Ternyata usaha Arianna dan Firdaus tidak sia-sia. Encik Helmi suka dengan hasil kerja mereka yang sangat teliti dan kemas. Hal ini bermaksud bahawa tugasan Arianna di Bali sudah selesai. Projek yang Arianna uruskan untuk perlancongan di Indonesia sudah berjaya. Arianna menarik nafas lega. Dia bersyukur kerana segala urusannya dipermudahkan tanpa sebarang masalah.
Sudah tiba masanya untuk Arianna pulang ke KL. Arianna menghubungi Firdaus tujuan untuk berterima kasih atas segala kerjasama dan tunjuk ajarnya sepanjang Arianna di Indonesia. “Assalamualaikum, Fie.” Sejak mereka bekerja bersama, Firdaus lebih selesa Arianna memanggilnya Fie. “Waalaikummussalam. Ye Anna, ada apa-apa yang boleh i bantu?” Firdaus menduga sekiranya Arianna memerlukan pertolongan daripadanya.
“Eh tak la Fie. Anna call ni pun sebab nak ucapkan terima kasih sebab dah banyak Fie tolong Anna sepanjang Anna berada di sini. Kalau Fie tak tolong tak tau la macam mana Anna nak selesaikan semuanya.”
“Itu dah memang tanggungjawab i. Anna, u balik esok kan?” Firdaus menunggu jawapan daripada Arianna.
“Ye, Anna balik esok. Okey la Fie, Anna nak pack in barang-barang dulu ye. Jumpa lagi.” Ujar Arianna dengan lembut. Malam itu, Arianna mengemas semua barang-barang ke dalam bagasi dan bersedia untuk pulang ke KL dengan hati yang berat untuk meninggalkan Firdaus.
Sudah hampir dua minggu Arianna pulang dari Bali. Namun tiada satu khabar pun yang dihantar kepada Firdaus. Arianna tidak membalas dan menjawab e-mail serta panggilan Firdaus. Arianna takut untuk menerima hakikat bahawa dia mula menyukai Firdaus, jejaka yang putih melepak serta muka seakan-akan Chinese look, yang mula mencuri hatinya. Arianna tidak tahu bahawa Firdaus datang ke KL. Arianna terkejut apabila dia melihat Firdaus yang berbadan tegap dan memakai sut hitam sedang menunggunya di dalam pejabat. Arianna teruja namun dia harus mengawal diri. Malam itu, Arianna membawa Firdaus keluar jalan-jalan dan makan malam. Mereka berkongsi banyak cerita bersama-sama. Mereka bercerita soal kerja sehingga ke hal peribadi. Setelah berkongsi cerita, Arianna mendapat tahu bahawa Firdaus sebenarnya berasal dari Terengganu yang menetap di Indonesia diatas urusan kerja. Arianna juga dapat tahu bahawa rupa-rupanya Firdaus telah jatuh hati dengan Arianna sejak mereka mula-mula kenal lagi. Cuma Firdaus malu untuk memberitahu Arianna tentang perasaannya itu. Firdaus menggenggam erat jari jemari Arianna. Arianna berasa bahagia kerana dia sangka dia hanyalah bertepuk sebelah tangan namun nasib menyebelahinya kali ini. Keesokan harinya, Arianna ke KLIA, untuk menghantar Firdaus pulang ke Jakarta. Mereka masing-masing berat hati untuk berpisah. Dalam diam, mereka seakan berjanji untuk ke tahap yang lebih serius. Fie, seandainya Fie dapat mendengar bisik hati Anna ini, Fie akan tahu betapa dalamnya cinta Anna terhadap Fie. Fie satu-satunya insan yang berjaya membuka pintu hati Anna. Fie telah mendapat kunci yang telah lama Anna simpan. Terima kasih Fie kerana hadir dalam hidup Anna. Anna bahagia, Anna sayang Fie. Luah Arianna di dalam hatinya. Arianna sangat berharap Firdaus adalah jodohnya. Arianna berharap Fie tidak mempermainkan hatinya seperti apa yang telah Iz lakukan terhadap dirinya dahulu.
Setelah menghantar Firdaus ke lapangan terbang, dalam perjalanan pulang ke rumah, Arianna menelefon mamanya di kampung. Dengan wajah yang sangat ceria Arianna bertanyakan khabar mama dan papanya. Perubahan suara Arianna yang sangat ceria, menimbulkan tanda tanya kepada mamanya yang berada di hujung talian. Arianna memandu keluar dari KLIA dan melihat matahari bercahaya bersinar-sinar seperti sinaran hatinya yang sedang berbunga bahagia. Sesungguhnya Arianna berasakan bahawa dunia ini, dia yang punya.
-Sekian-
Nukilan : Azmira Shamsudin..